Pages

Saturday, 24 December 2016

Peranan? Bukankah Aku Hanya Pendosa?


"I bear witness there is no deity but Allah and Muhammad is the messenger of Allah"

Syahadah. Meaningful yet ignored.


***************


Aku suka saat itu. Aku berfoya-foya dengan dunia. Tiada tujuan. Tiada matlamat.
            Andaian aku, hidup ini hanya sekadar untuk bersuka ria dengan nikmat yang sementara. Namun aku lupa. Saat aku dilahirkan lagi, perananku sebenarnya sangat besar. Aku selalu diberitahu tentangnya. Namun, aku mengira,
“Ahh, semua itu bohong semata-mata.”


Apa perananku?

            Seringkali timbul di benak fikiran manusia  berkaitan persoalan apakah sebenarnya peranan mereka? Tidaklah dia dilahirkan di muka bumi ini hanya sia-sia. Pasti ada tujuan. Pasti ada matlamat. Bukan setakat bergembira dan bersukar ria dengan nikmat dunia.
Namun apakah peranan itu?
Allah menjelaskan dalam Surah Az-Zariyat ayat 56,


 وَمَاخَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ 
“Dan tidak Aku ciptakan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”-(51:56)

1.    Beribadah. Sebagai hamba.
Memang biasa kita dengar.
            Maka, peranan kita di bumi ini hanyalah setakat menjadi hamba yang beribadah kepada Tuhannya. Melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dan beriman kepada keesaan-Nya dan keagungan-Nya yang mutlak.
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 30, Allah menjelaskan pula,


وَ إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّيْ جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيْفَةً
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat,’Sesungguhnya Aku ingin menjadikan (manusia) di muka bumi ini sebagai khalifah...’.”-(2:30)


2.    Menjadi khalifah.
Tugas agung kita yang kedua adalah menjadi khalifah. Ya. Memang kita semua sudah sedia maklum.
Namun, apa dia tugas khalifah?
            Khalifah bertanggungjawab memakmurkan bumi Allah. Memakmurkan dengan pelbagai cara. Yang paling utama adalah menjadi pemimpin kehidupan.
Manusia diciptakan untuk memipin dan memakmurkan kehidupan di muka bumi.

Namun, kini, satu peranan pun kita kurang faham dan kurang laksanakan. Kerana kita merasakan diri kita tiada peranan di muka bumi ini. Hal ini bersangkut paut dengan maksiat yang kita lakukan.

            Apabila kita terus menerus melakukan dosa, perasaan untuk bertanggungjawab itu kian luput dalam diri. Sekali gus menghadirkan rasa selesa tatkala meninggalkan amanah yang ditugaskan.

Bukan sahaja sebagai hamba,
Bahkan sebagai khalifah.
Allah mengingatkan kita kembali akan pertanyaannya tatkala kita masih  berada di alam Ruh, dalam Surah Al-A’raf ayat 172,


وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ
“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari belakang(tulang sulbi) mereka, dan menjadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri…”


Sebelum kita dilahirkan ke muka bumi ini, Allah SWT telah menjadikan kita saksi. Saksi terhadap diri kita sendiri. Atas satu persoalan agung iaitu,


أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ
“Bukankah Aku Tuhan kamu?”

Allah menjadikan kita saksi terhadap persoalan tersebut. Persoalan agung yang membawa makna kehidupan. Dan apa yang kita semua jawab,


قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا
“Mereka(anak-anak Adam) berkata, ‘Bahkan kami bersaksi’.”

Kita menjawab,’Bahkan kami bersaksi’  bahawa Allah sahajalah Tuhan kita. Ita yang menjadi saksi terhadap roh sendiri. Maka, Allah menyambung,


 ۛ أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ 
“(Yang demikian ini) adalah agar mereka tidak berkata pada hari kiamat bahawa,‘Sesungguhnya kami telah lalai(tidak diberi peringatan) tentan ini(hakikat tauhid).”-(7:172)

Allah menyuruh kita menjadi saksi terhadap diri sendiri agar kita tidak mengatakan pada hari kiamat bahawa kita tidak menerima peringatan tentang hakikat tauhid dan keesan-Nya.

Agar kita tidak sekali-kali dapat menyalahkan orang lain kerana kelalaian kita terhadap peranan sebenar kita di dunia ini.

Agar kita tidak dapat menuding jari pada orang lain atas kegagalan kita memahami dan tanggungjawab dan peranan kita di muka bumi ini lantas melaksanakannya.
            Dalam seharian hidup kita, Allah memerintahkan kita agar memperbaharui kesaksian tersebut. Agar kita terus valid dalam menjadi saksi sebuah kehidupan.

“Dan kesaksian itu kita perbaharui sekurang-kurangnya 9 kali dalam sehari melalui 5 kali solat sehari semalam.”

Adakah kita sedar?
            Allah menyuruh kita memperbaharui dan mengulang-ulang syahadah atau kesaksian kita terhadap diri sendir, agar kita trus beringat. Agar kita tidak leka akan tugas kita di bumi sebagai hamba Ilahi.
Namun, itulah kita.

Solat pun kadang-kala sahaja.
Seandainya solat, bacaan di dalamnya tidak langsung kita fahami.
Bacaan di dalamnya tidak pernah kita hayati.
Kita mengucapkan kesaksian. Tetapi dalam keadaan samba lewa. Bolehkah begitu?

            Pernahkah anda lihat babak-babak di mahkamah, tatkala seorang saksi dipanggil untuk mengemukakan kesaksian atas jenayah yang dilakukan orang tahanan? Adakah dia ketawa sambil memberi saksi? Adakah dia memberi keterangan secara samba lewa?Dan adakah dia tertidur sambil menunggu gilirannya memberi saksi? Menguap pun jarang sekali.
Mustahil. Kerana kesaksian adalah satu perkara yang amat serius.

            Oleh itu, saat kita memperbaharui kesaksian kita, lakukanlah dengan bersungguh. Lakukanlah dengan sepenuh jiwa. Agar hadir semula dalam diri kita satu perasaan untuk menghambakan diri.

Segala-galanya bermula dengan syahadah.
Kerana itulah ia rukun Islam yang pertama.
Lantaran dengan syahadah itulah kita mengambil jawatan dan peranan sedari lahir lagi.
Sebagai hamba kepada Yang Esa.

Sekalipun engkau berdosa, engkau tetap berperanan.
            Dosa dan maksiat tetap tidak mampu kita tinggalkan. Setinggi-tinggi usaha kita adalah mencegah dan menjauhinya.

            Namun, keadaan kita yang berdosa tidak menghilangkan jawatan dan peranan kita. Kerana kasihnya Allah SWT, Dia tetap tidak melucutkan jawatan itu Daripada kita. Dia tetap membuka peluang untuk kita kembali dan bertaubat kepada-Nya. Dia tetap membuka peluang untuk kita kembali mengenal dan memahami peranan kita.

Oleh itu, marilah mula menjadi hamba.
Marilah mula menjadi khalifah.
Marilah mulakan tugas kita.

Kerana semua kita, ada peranan  yang besar. Peranan yang tidak luput sehinggalah nyawa kita direggut.

You are the witness.
Witness of a life,
Witness of death.
and witness of bounty dutiful roles of what it is meant to be a HUMAN!

Wallahua’lam.